Manchester United juare BPL



EWOOD PARK – Jaringan penalti Wayne Rooney pada minit ke-73 cukup untuk membolehkan Manchester United menjulang gelaran Liga Perdana England buat kali ke-19, semalam.
Jaringan penyamaan Rooney itu mengikat kedudukan 1-1 dengan Blackburn di Ewood Park.
Kejayaan itu juga bermakna United muncul kelab yang paling banyak meraih gelaran liga di England mengatasi senarai Liverpool yang mempunyai rekod kejuaraan liga sebanyak 18 kali.
Walaupun dikejutkan oleh gol pendahuluan oleh pemain antarabangsa Australia, Brett Emerton pada minit ke-20, ia tidak memadamkan api perjuangan pemain United yang sedar keputusan seri sudah memadai buat mereka bergelar juara.
Hasilnya, kesilapan penjaga gol Blackburn, Paul Robinson menjatuhkan Javier Hernandez pada minit ke-72, pengadil perlawanan, Philip Dowd yang pada mulanya teragak-agak memberikan tendangan penalti kepada United, menghadiahkan sepakan tersebut selepas berbincang dengan pembantu pengadil.
Rooney yang ditugaskan mengambil sepakan berkenaan tidak mensia-siakan peluang keemasan berkenaan dengan memilih untuk menyepak ke kanan gawang ketika Paul Robinson tersalah agakan merebahkan badan ke sebelah kiri.
Bagi pemain veteran United, Ryan Giggs yang pernah bersama United sepanjang meraih 12 gelaran juara liga, dia menganggap kejayaan itu satu memori manis yang tidak akan dilupakan sepanjang bersama Red Devils.
‘‘Dua puluh tahun lalu, kami berada jauh di belakang Liverpool. Jadi, kejayaan ini harus ditujukan kepada pengurus dan pemain, memang satu perasaan yang menyeronokkan apabila berjaya memintas rekod seteru utama kami.
‘‘Liga EPL pada musim ini jelas cukup mencabar berbanding musim sebelumnya. Namun, kami semua mempunyai semangat yang cukup tinggi. Kami hanya mahu memenangi trofi,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, pengurus United, Alex Ferguson mengambil keputusan merehatkan tiga pemain utama iaitu Edwin Van der Sar, Paul Scholes dan Patrice Evra menjelang pertemuan akhir Liga Juara-Juara tidak lama lagi.
Sementara itu, saingan zon penyingkiran semakin sengit apabila Wolverhampton dan Blackpool mencatat kemenangan sekali gus meletakkan kedudukan Birmingham dan Blackburn masih belum berada dalam posisi yang selamat.
Wolverhampton menang 3-1 ke atas Sunderland di Stadium of Light sementara Blackpool pula berhempas pulas mengatasi Bolton 4-3. West Brom pula menang tipis 1-0 ke atas Everton.

Mesti menang atau dipecat

LONDON - Chelsea mesti memenangi perlawanan yang bakal menentukan kejuaraan Liga Perdana England apabila menentang Manchester United hari ini atau pengurus Blues, Carlo Ancelotti dipecat.
Jurulatih kelahiran Itali itu terpaksa membayar harga yang tinggi sekiranya Chelsea mengharungi musim ini tanpa sebarang kejuaraan, walaupun membawa skuad itu merangkul kejuaraan berganda buat kali pertama dalam sejarah 106 tahun pasukan itu, musim lalu.
"Bukan sesuatu yang gila untuk memikirkan bahawa nasib kelab ini boleh berubah, semuanya tidak mustahil, malah pada akhir musim pengurus juga boleh bertukar jika mereka (kelab) mahu.
"Saya tiada masalah kerana saya hanya mahu memberikan yang terbaik tetapi kelab juga perlu menilai kerja saya.
"Jika mereka menilai saya sebagai bagus, maka saya akan kekal, namun jika mereka tidak menganggap saya bagus, mereka mungkin akan menukar pengurus.
"Saya mahu kekal di sini, tetapi saya bukan jenis orang yang bercakap banyak, saya cuba bersikap tenang dalam situasi ini," akui Ancelotti.
Chelsea mampu memintas United pada kedudukan teratas liga ketika baki dua perlawanan sekiranya menang di Old Trafford hari ini, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan untuk mempertahankan kejuaraan.
Pada Mac lalu, Chelsea ketinggalan 15 mata kepada United namun mereka menunjukkan kebangkitan hebat untuk berada pada kedudukan kedua ketika ini.
Pasukan itu hanya melepaskan dua mata daripada sembilan perlawanan terakhir, sedangkan United kehilangan 11 mata.
Bagaimanapun andai mereka gagal mengekang skuad bimbingan Alex Ferguson, yang menewaskan Chelsea di tempat sendiri dan pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, pemilikBlues, Roman Abramovich tidak lagi akan bertolak ansur.
Abramovich sudah memutuskan untuk menyingkirkan bekas pengurus AC Milan itu hanya selepas dua tahun beliau menerajui Chelsea, jika pasukan tersebut gagal lagi menyaingi pencabar utama mereka.'
Jika itu berlaku, Chelsea akan bertukar tujuh pengurus dalam tempoh lapan tahun


Carlo Ancelotti berdepan saat penentuan dalam kariernya bersama Chelsea apabila mengharungi perlawanan penentuan kejuaraan Liga Perdana menentang Manchester United hari ini.

Saodah dapat kaki palsu pada Hari Ibu

BALING 7 Mei - Bagi Saodah Isa, Hari Ibu kali ini amat bermakna buat dirinya apabila mendapat kaki palsu yang lebih selesa untuk dipakai dalam menjalani hidup sehariannya.
Saodah, 60, dari Kampung Keda Bandar dekat sini sudah tujuh tahun mengalami kecacatan pada kaki kanannya akibat penyakit kencing manis.
Namun segalanya berubah buat seorang ibu kepada tujuh anak itu apabila dia menerima kaki palsu yang lebih sesuai dan selesa untuk dipakainya.
Keinginan untuk memakai kaki palsu yang sesuai dengan kakinya telah diidamkan sejak kakinya dipotong lagi.
"Terima kasih atas pemberian ini dan saya amat gembira menerimanya sempena Hari Ibu esok," katanya ketika ditemui selepas Program Juara Rakyat Parlimen Baling bertemakan 'Syurga di Bawah Telapak Kaki Ibu' di sini hari ini.
Suaminya, Taib Jusoh, 64, juga agak uzur dan sering sakit manakala Saodah pula terpaksa berulang alik ke hospital untuk mengambil ubat.
Kaki palsu untuk Saodah disumbangkan oleh UMNO Bahagian Baling melalui Ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez berkata, pemberian kaki palsu untuk Saodah sebagai simpati pihaknya terhadap nasib wanita itu dan sebagai tanda mengingati peranan kaum ibu dalam keluarga.
''Kami mahu Saodah menjadi ibu yang mampu berasa lega dan gembira sempena Hari Ibu tahun ini," katanya yang turut memasangkan kaki palsu itu kepada wanita tersebut.