Mesti menang atau dipecat

LONDON - Chelsea mesti memenangi perlawanan yang bakal menentukan kejuaraan Liga Perdana England apabila menentang Manchester United hari ini atau pengurus Blues, Carlo Ancelotti dipecat.
Jurulatih kelahiran Itali itu terpaksa membayar harga yang tinggi sekiranya Chelsea mengharungi musim ini tanpa sebarang kejuaraan, walaupun membawa skuad itu merangkul kejuaraan berganda buat kali pertama dalam sejarah 106 tahun pasukan itu, musim lalu.
"Bukan sesuatu yang gila untuk memikirkan bahawa nasib kelab ini boleh berubah, semuanya tidak mustahil, malah pada akhir musim pengurus juga boleh bertukar jika mereka (kelab) mahu.
"Saya tiada masalah kerana saya hanya mahu memberikan yang terbaik tetapi kelab juga perlu menilai kerja saya.
"Jika mereka menilai saya sebagai bagus, maka saya akan kekal, namun jika mereka tidak menganggap saya bagus, mereka mungkin akan menukar pengurus.
"Saya mahu kekal di sini, tetapi saya bukan jenis orang yang bercakap banyak, saya cuba bersikap tenang dalam situasi ini," akui Ancelotti.
Chelsea mampu memintas United pada kedudukan teratas liga ketika baki dua perlawanan sekiranya menang di Old Trafford hari ini, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan untuk mempertahankan kejuaraan.
Pada Mac lalu, Chelsea ketinggalan 15 mata kepada United namun mereka menunjukkan kebangkitan hebat untuk berada pada kedudukan kedua ketika ini.
Pasukan itu hanya melepaskan dua mata daripada sembilan perlawanan terakhir, sedangkan United kehilangan 11 mata.
Bagaimanapun andai mereka gagal mengekang skuad bimbingan Alex Ferguson, yang menewaskan Chelsea di tempat sendiri dan pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, pemilikBlues, Roman Abramovich tidak lagi akan bertolak ansur.
Abramovich sudah memutuskan untuk menyingkirkan bekas pengurus AC Milan itu hanya selepas dua tahun beliau menerajui Chelsea, jika pasukan tersebut gagal lagi menyaingi pencabar utama mereka.'
Jika itu berlaku, Chelsea akan bertukar tujuh pengurus dalam tempoh lapan tahun


Carlo Ancelotti berdepan saat penentuan dalam kariernya bersama Chelsea apabila mengharungi perlawanan penentuan kejuaraan Liga Perdana menentang Manchester United hari ini.