Saodah dapat kaki palsu pada Hari Ibu

BALING 7 Mei - Bagi Saodah Isa, Hari Ibu kali ini amat bermakna buat dirinya apabila mendapat kaki palsu yang lebih selesa untuk dipakai dalam menjalani hidup sehariannya.
Saodah, 60, dari Kampung Keda Bandar dekat sini sudah tujuh tahun mengalami kecacatan pada kaki kanannya akibat penyakit kencing manis.
Namun segalanya berubah buat seorang ibu kepada tujuh anak itu apabila dia menerima kaki palsu yang lebih sesuai dan selesa untuk dipakainya.
Keinginan untuk memakai kaki palsu yang sesuai dengan kakinya telah diidamkan sejak kakinya dipotong lagi.
"Terima kasih atas pemberian ini dan saya amat gembira menerimanya sempena Hari Ibu esok," katanya ketika ditemui selepas Program Juara Rakyat Parlimen Baling bertemakan 'Syurga di Bawah Telapak Kaki Ibu' di sini hari ini.
Suaminya, Taib Jusoh, 64, juga agak uzur dan sering sakit manakala Saodah pula terpaksa berulang alik ke hospital untuk mengambil ubat.
Kaki palsu untuk Saodah disumbangkan oleh UMNO Bahagian Baling melalui Ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez berkata, pemberian kaki palsu untuk Saodah sebagai simpati pihaknya terhadap nasib wanita itu dan sebagai tanda mengingati peranan kaum ibu dalam keluarga.
''Kami mahu Saodah menjadi ibu yang mampu berasa lega dan gembira sempena Hari Ibu tahun ini," katanya yang turut memasangkan kaki palsu itu kepada wanita tersebut.